Dewan Kosmik
Disebalik nikmatnya kopi dan kesan kafein Oleh: Wan Zainal Azman Wan Abdullah Sumber: Dewan Kosmik - Disember, 2002
JAM menunjukkan pukul 11 malam, badan terasa penat dan mengantuk. Sebelah pagi ke sekolah dan petang pula menjalani latihan sukan. Baru sekejap tadi selesai menyiapkan kerja sekolah. Tetapi pukul 1.30 pagi nanti ada perlawanan secara langsung bola sepak Liga Inggeris antara Manchester United dan Arsenal. Untuk mengatasi masalah mengantuk anda telah mengambil secawan kopi dan makanan ringan.
Situasi begini sering terjadi di kalangan remaja. Apatah lagi apabila menghadapi peperiksaan, ada sesetengah pelajar mengulangkaji pelajaran hingga larut malam berbekalkan sekole kopi. Adakah anda mengetahui apakah yang telah membuatkan anda segar dan dapat berjaga hingga ke pagi? Tahukah anda bahan kimia apakah yang terkandung dalam kopi? Umumnya telah mengetahui tentang kafein.
Kafein adalah sejenis dadah yang terhasil secara semulajadi dalam daun dan biji beberapa jenis tumbuh tumbuhan. kafein juga dihasilkan secara tiruan dan digunakan sebagai bahan penambah atau perisa di dalam sesetengah makanan.
Kafein dikenali juga di kenali dengan nama kimianya trimetilksantina dalam keluarga metilksantina. Bahan ini berbentuk serbuk berwarna putih dan sedikit rasa pahit. Bahan kimia lain yang terdapat dalam kumpulan ini adalah teofilin terdapat dalam daun teh dan teobromin yang didapati dalam biji koko.
Kafein boleh ditemui dalam biji kopi (Coffea Arabica) , daun teh (Theasinensis) dan biji koko (Theobrama cacao). Kafein juga boleh didapati dalam lebih 60 jenis tumbuh-tumbuhan lain. Antaranya pokok guarana (Paullinia cupana) yang terdapat di Amazon. Kafein sering digunakan terutamanya dalam minuman ringan. Kebanyakan remaja sekarang begitu gemar mengambil minuman berkarbonat kola yang bukan sahaja mengandungi kafein tetapi juga kandungan gula yang tinggi. kafein juga digunakan dalam sesetengah ubat untuk merawat beberapa jenis penyakit. Antaranya untuk merawat sakit kepala, migrain, penyakit jantung dan mengendurkan saluran pernafasan dalam rawatan penyakit asma.
Kesan Pengambilan Kafein
Kesan pengambilan kafein bergantung kepada jumlah yang diambil dan berbeza bagi setiap individu yang mengambilnya. Secara purata semakin kecil saiz atau pun berat badan seseorang itu, semakin kurang kafein yang diperlukan untuk menghasilkan kesannya. Tetapi, banyak kesan kafein bergantung kepada jumlah yang diambil. Pengemar kopi selalunya memerlukan pengambilan yang tinggi untuk mencapai tahap kenikmatannya. Ini bermakna lebih banyak kafein yang diambil setiap hari maka lebih banyak yang diperlukan untuk mencapai tahap kenikmatannya.
Kafein akan memasuki sistem tubuh setelah beberapa jam mengambilnya kemudian akan keluar menerusi urin. Kafein memberikan kesan berterusan ke atas tubuh kita selagi masih berada dalam darah. Jangka masa yang diperlukan oleh tubuh untuk menyahkan separuh daripada jumlah kafein yang diambil adalah dari beberapa jam hingga ke beberapa hari. Secara puratanya bagi orang dewasa, kesannya boleh dirasai selama lima hingga tujuh jam. Terdapat beberapa faktor yang melambat jangka hayat kafein dalam tubuh kita, antaranya seseorang yang mengambil ubat-ubatan, menghidap penyakit hati dan wanita mengandung.
Oleh itu, bagi wanita mengandung pengambilan kafein hendaklah dikurangkan atau dihentikan sama sekali kerana kafein akan meningkatkan risiko keguguran dan ketidaksuburan. Ada juga bukti yang menunjukkan kafein boleh mengakibatkan kecacatan bayi sewaktu dilahirkan.
Kafein boleh menyebabkan pesakit yang mengalami masalah jantung dan kegagalan saraf menjadi lebih teruk, dan kebanyakan pengguna tidak sedar keadaan ini boleh berlaku ke atas mereka.
Kajian telah menunjukkan bahawa kafein memberi kesan seperti penggunaan dadah perangsang yang lain. Kafein cenderung untuk merangsang otak dan sistem saraf pusat kemudiannya bertindak ke atas jantung, pembuluh darah dan buah pinggang. Salah satu simtom yang biasa dihadapi oleh pengguna ialah dehidrasi (pengeluaran air terlalu banyak daripada badan menyebabkan badan kekurangan air). Walaupun anda menganggap dengan meminum air berkafein yang banyak badan dapat mengekalkan kandungan air tersebut tetapi kafein akan bertindak sebaliknya ke atas badan. Di sini kafein bertindak mempercepatkan penghadaman dan merangsang pengeluaran air kencing yang banyak.
Dalam situasi begini adalah penting kepada remaja yang aktif bersukan dan gemar mengambil minuman berkafein agar meminum air yang tidak berkafein secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi. Dengan pengambilan kafein juga akan menyebabkan badan kehilangan kalsium serta potassium dan ini akan menyebabkan kesakitan otot dan melambatkan masa untuk rehat selepas menjalani senaman. Bagi wanita dalam peringkat menopaus yang gemar mangambil minuman berkafein akan mempercepatkan lagi proses osteoporosis disebabkan kehilangan bahan-bahan mineral tersebut.
Walaupun kesan kafein berbeza di antara seorang pengguna dengan pengguna yang lain, pengamal perubatan menasihatkan agar mengambil tidak lebih dari 100 mg kafein sehari, yakni lebih kurang satu cawan kopi sehari. Namun terdapat pelbagai saranan yang diutarakan oleh pelbagai pihak mengenai pengambilan kafein yang unggul. Walau apa pun saranan yang diutarakan mengenai pengambilan kafein yang unggul dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sekiranya kita menghidap penyakit tertentu yang mungkin alah kepada kafein.
Pengambilan pada dos 250 hingga 750mg kafein (dua hingga tujuh cawan kopi) boleh menyebabkan seseorang itu mengalami situasi cemas, letih, tidak nyenyak tidur, sakit kepala dan sakit perut. Tetapi pengambilan kafein akan meningkatkan rasa waspada dan meningkatkan rasa waspada dan meningkatkan penumpuan terhadap tugas. Namun, tidur juga akan terganggu, berasa lebih tenang dan mengurangkan rasa lesu.
Jika kafein diambil lebih dari 750mg (tujuh cawan kopi) sehari akan menyebabkan sakit kepala, lekas marah, timbulnya rasa takut dan tidak dapat tidur (insomnia). Pengambilan dos yang tinggi juga akan menyebabkan kekejangan dan mungkin diikuti dengan maut.
Kesan jangka panjang
Ulser - Kafein dipercayai boleh mengakibatkan ulser kerana bahan ini merangsangkan penghasilan asid dan peptin di dalam perut. Sekiranya diambil dalam jumlah yang banyak boleh mengakibatkan perut rasa tidak selesa. Seseorang yang mengalami masalah ulser dinasihatkan tidak mengambil kopi kerana akan menyebabkan ulser menjadi lebih teruk. Tetapi, bukan kafein sahaja yang mengakibatkan terjadinya ulser. Lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk membuktikan sama ada kopi berkafein dan kopi tanpa kafein boleh menyebabkan ulser.
Masalah Jantung – Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa kafein boleh menyebabkan denyutan jantung tak menentu (cardiac arrhythmia) kepada sesetengah orang. Biasanya penghidap sakit jantung dinasihatkan tidak mengambil minuman berkafein sama sekali. Walaupun demikian tiada bukti menunjukkan kafein adalah faktor penyebab sakit jantung.
Ketagih - Kafein boleh membuatkan seseorang itu menjadi ketagih. Jika individu berbabit berhenti dari meneruskan pengambilan kafein, ia akan mengalami simtom pengunduran (withdrawal symptoms) seperti sakit kepala. Simtom ini biasa dialami oleh penggemar kopi dan sakit kepala ini akan hilang dengan sendirinya dalam masa satu hingga lima hari atau ia akan sembuh semula dengan meminum kopi kembali atau mengambil ubat. Kebanyakan penggemar kopi yang cuba mengurangkan pengambilan kafein akan mengalami rasa gementar, sakit-sakit, tidak berupaya untuk bekerja, lesu, mengantuk dan sakit kepala.
Bagi membuang tabiat ketagihan kafein bukannya mudah. Cara yang berkesan adalah mengurangkan pengambilan setiap hari. Amalkan minum air kosong yang banyak serta jus buah-buahan dalam sajian harian anda.
Jenis Makanan & Minuman Kandungan Kafein (mg) Dos Kopi Tapis/Saring 100 – 150 satu cawan Kopi Segera 50 – 70 satu cawan Teh 30 – 90 satu cawan Teh Uncang 65 satu cawan Kopi Nyah Kafein 1 – 6 satu cawan Minuman Kola 72 360g Soda Oren Sunkist 42 360g Minuman Coklat Panas 5 satu cawan Kek Coklat 20 – 30 satu potong Ubat-ubatan Ubat Migrain 100 mg/dos Analgesik 15 - 40 mg/dos Batuk/Selsema 15 – 125 mg/dos * maklumat diatas diperolehi dari www.prn2.usm.my/mainsite/bulletin/sun/1996/sun35.html